Selangorkini
EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (kanan) menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Kebajikan Khairat Pengebumian Kaum India Selangor (KHAIS), Dato’ Seri Dr D Dhatchinamoorthy (kiri) bagi membincangkan urusan pengebumian mayat mangsa Covid-19. Foto YB Ganabatirau
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Waktu operasi krematorium tiga PBT dilanjut hingga 6.30 petang

SHAH ALAM, 25 JULAI: Waktu operasi krematorium di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) dilanjutkan sehingga 6.30 petang berbanding 4.30 petang sebelum ini.

EXCO kerajaan prihatin berkata lanjutan masa kompleks pembakaran di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil kira peningkatan mayat mangsa Covid-19.

V Ganabatirau memaklumkan keputusan melanjutkan tempoh itu dicapai melalui perbincangan bersama wakil ketiga-tiga PBT terbabit baru-baru ini.

“Sejak pandemik, kes kematian meningkat secara mendadak dalam semua lapisan masyarakat termasuk kaum India dan mengakibatkan banyak mayat tidak dapat diurus dengan sempurna berikutan tempat untuk membakar terhad serta tidak menentu.

“Setelah berunding dengan pihak berkaitan, kita bersetuju dan langkah ini dapat membantu penambahan pembakaran mayat yang tersandar di bilik mayat,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil rakyat Kota Kemuning menjelaskan pihaknya turut menerima cadangan Persatuan Kebajikan Khairat Pengebumian Kaum India Selangor (KHAIS) agar mayat yang menunggu giliran untuk pembakaran dikebumikan di tanah perkuburan Hindu.

“Pengerusi persatuan terbabit berpendapat mengapa harus sentiasa dibakar sedangkan tempat pembakaran sangat terhad manakala tapak untuk pengebumian masih ada dan boleh diuruskan pihak KHAIS.

“Beberapa persatuan kubur di Selangor juga mengalu-alukan cadangan ini dan sanggup bekerjasama dengan KHAIS, maka inisiatif pihak berkenaan perlu diberi dorongan serta sambutan yang baik,” katanya.


Pengarang :