Sebahagian penerima vaksin Covid-19 membaca surat khabar SelangorKini sementara menunggu giliran untuk disuntik semasa program Vaksin Selangor (Selvax) DUN Seri Serdang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil pada 28 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga asing hargai Selvax, mampu kekang penularan Covid-19

BUKIT JALIL, 29 JULAI: Seorang warga Bangladesh menganggap tawaran Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti kepada warga asing mampu mengekang penularan Covid-19 dalam negara ini.

Muhd Sulaiman Abdul Karim, 35, berkata memandangkan wabak itu berisiko menjangkiti sesiapa sahaja, golongan sepertinya juga perlu mendapatkan pelalian secepat mungkin.

Mohd Sulaiman Abdul Karim, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya bekerja kilang dan bercampur dengan warga tempatan jadi sekiranya dijangkiti, mereka berisiko terjangkit. Mereka galakkan dan bantu daftar supaya jangkitan antara kami tidak tinggi,” katanya ketika ditemui di program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang semalam.

Program yang berjalan dua hari itu melibatkan 2,600 pendaftaran termasuk kira-kira 200 warga asing yang memiliki permit sah turut menerima suntikan pelalian secara percuma.

Sementara itu seorang suri rumah sanggup membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diterimanya Jumaat ini demi mendapatkan tempat vaksinasi yang sama dengan ahli keluarga lain.

“Semalam (Selasa) saya terima panggilan tapi batalkan sebab mahu sertai Selvax Komuniti bersama ibu dan abang ipar. Ini lebih mudah kerana kami boleh datang bersama selain dekat dengan rumah,” kata Nuryani Abu Bakar, 29.

Edward Kong Jia Liang, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bagi Edward Kong Jia Liang, 35, yang merupakan seorang jurutera berkata dia gembira mendapatkan vaksin lebih cepat dari jangkaan selepas membatalkan giliran pada 22 Julai lalu yang dimohon menerusi Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca.

“Saya sepatutnya terima vaksin di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam tetapi batalkan selepas risau dengan jangkitan wabak dalam kalangan petugas di situ.

“Kebetulan saya lihat tawaran Selvax ini dan terus memohon. Hari ini (semalam) disuntik tanpa perlu tunggu giliran semula di PICK,” katanya.


Pengarang :