Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Warga Bukit Antarabangsa terima vaksin Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 3,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bakal mendapat suntikan pelalian mulai hari ini.

Penyelaras DUN Suzana Shaharudin berkata suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 sehingga esok.

“Semua penerima merupakan yang berdaftar dengan pusat khidmat masyarakat sewaktu Saringan Komuniti fasa tiga DUN Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.

“Selain penerima Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat, kita juga memberi keutamaan kepada golongan penjaja dan berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri memperkenal Selvax Komuniti yang menyasar warga emas dan B40 serta Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Sebanyak 2.5 juta dos vaksin disediakan bagi tujuan itu yang akan memanfaatkan 1.25 juta penduduk bagi mempercepat sasaran vaksinasi 80 peratus golongan dewasa pada Oktober.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-800-22-6600 atau layari vax.selangkah.my.


Pengarang :