Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas boleh ‘walk-in’ untuk suntikan, PPV industri dibuka 24 jam

SHAH ALAM, 15 JULAI: Individu berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur boleh terus mendapatkan suntikan di pusat pemberikan vaksin (PPV) tanpa perlu pendaftaran, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kaedah itu dilaksana berikutan masih ada individu lingkungan usia berkenaan belum menerima suntikan pelalian.

“Untuk (warga emas berumur 60 tahun ke atas) di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka boleh ‘walk in’ dan kita berikan mereka vaksin.

“Data menunjukkan masih ada lagi golongan ini yang masih belum divaksinasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata projek rintis bermula di Selangor dan Kuala Lumpur akan dikembangkan ke negeri lain dalam masa terdekat. Tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

Setakat ini, kira-kira 2.47 juta daripada 2.98 juta warga emas yang mendaftar telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata pusat pemberian vaksin (PPV) industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pula dibuka 24 jam.

“Sekiranya PPV industri ini ingin melaksanakan program vaksinasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban (Negeri Sembilan) boleh 24 jam sekarang,” katanya lagi.

 


Pengarang :