Warga emas dikenali sebagai Pakcik Man menerima bantuan daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sentosa selepas dua jam mengibarkan bendera putih, baru-baru ini. Foto ihsan PKM DUN Sentosa
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas dibantu wakil rakyat lepas dua jam kibar bendera putih

SHAH ALAM, 8 JULAI: Demi kelangsungan hidup, seorang suami sanggup melakukan pelbagai kerja termasuk menjual barangan terpakai dan mengutip sampah untuk menyara isterinya.

Mesra disapa Pakcik Man, lelaki berusia 63 tahun itu menggunakan segala kudrat yang ada untuk mencari rezeki selepas diberhentikan kerja sejak Mei tahun lalu.

“Saya pernah bekerja di sebuah syarikat pengurusan perniagaan tetapi diberhentikan susulan pandemik. Saya juga mencari kerja di lebih lima syarikat tetapi tiada kekosongan.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengutip sampah dan menjual barangan terpakai. Menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki buat isteri dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pendapatan Pakcik Man mula terjejas selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih parah apabila PKP Diperketat pula dikuat kuasa.

Beliau yang buntu akhirnya mengambil keputusan untuk mengibar bendera putih kerana bimbangkan keadaan isterinya yang menghidap penyakit kencing manis.

“Saya mengibar bendera putih adalah cadangan daripada jiran yang memberitahu kempen tersebut. Alhamdulillah selepas dua jam, tiba bantuan daripada pusat khidmat masyarakat,” katanya yang turut menghidap penyakit tekanan darah rendah.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah menyeru penduduk yang memerlukan supaya tidak malu untuk meminta bantuan sekiranya terputus bekalan makanan.

“Penduduk boleh terus menghubungi pusat khidmat masyarakat DUN Sentosa menerusi talian 011-26406910 sekiranya memerlukan bantuan.

“Setiap hari kita menerima lebih 80 panggilan dan setiap hari juga kita agihkan bantuan kepada masyarakat memerlukan,” katanya.


Pengarang :