Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Warga Lembah Klang bergejala ringan tidak perlu ke pusat nilai Covid-19

SHAH ALAM, 29 JULAI: Warga Lembah Klang yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala tidak perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata sebaliknya individu positif Covid-19 yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya perlu menjalani pengasingan di rumah.

“Mereka perlu mengasingkan diri serta merta dan menjalani tempoh kuarantin di rumah,” kata KKM menerusi Twitter.

Pada 27 Julai, kementerian itu turut mengingatkan warga Lembah Klang yang mengalami keadaan sama untuk tidak hadir ke CAC.

Berikut langkah yang perlu dilakukan pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan:

– Maklumkan keputusan ujian saringan di aplikasi MySejahtera
– Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah secara digital akan diberikan
– Melengkapkan kit penilaian di rumah menerusi MySejahtera
– Keadaan pesakit akan dipantau CAC secara maya dan pesakit akan dihubungi jika perlu
– Pesakit yang perlu ke CAC terdekat untuk penilaian lanjut kesihatan akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi pusat panggilan CAC
– Pesakit yang perlu bantuan boleh hubungi pusat panggilan CAC menerusi talian 03-7723 9299 (8 pagi – 9 malam) atau CPRC Hotline 03-7723 9300 (8 pagi – 12 tengah malam)
– Pesakit perlu segera ke hospital jika gejala menjadi semakin teruk

Selangor mengambil inisiatif membekalkan kit kesihatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM1.25 juta diperuntukkan bagi membekal kit berkenaan kepada individu dikesan positif melalui saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Kit itu mengandungi pelitup muka, jangka suhu, ubat, kit ujian air liur dan alat pengukur tingkat oksigen.


Pengarang :