Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Waris bergelang merah jambu diminta tidak hantar keperluan ke PKRC Serdang

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Waris pesakit yang memakai gelang pink diingatkan agar tidak menambah risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dengan bertindak menghantar barangan keperluan kepada ahli keluarga masing-masing.

Teguran dibuat oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M Ananthan kerana mendapati individu bergelang pink sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif hadir ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan keperluan kepada waris yang sedang menjalani rawatan.

Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri, beliau berkata ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS yang menerima serahan tersebut kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE).

“Kita faham keadaan waris, mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barangan keperluan tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ramacantiran berharap waris pesakit yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin kerana kontak rapat tidak sesekali datang ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan.

Katanya, usaha membendung jangkitan adalah tanggungjawab bersama dan jangan menyalahkan pihak yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa dan negara kerana petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus itu.

Menurut Ramacantiran, penghantaran barangan keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.

“Sejak kebelakangan ini, JKM perhatikan barang yang dihantar oleh waris kepada pesakit keterlaluan dan terlalu banyak. Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar,” katanya.


Pengarang :