Guru Tadika Anak-Anak Bestari di Seksyen 7, Shah Alam menyukat suhu badan murid-murid sebelum dibenarkan masuk ketika tinjauan pada 17 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wujud geran khas bantu guru, pengusaha tadika tingkat kemahiran mengajar

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan geran khas bagi membantu guru dan pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) meningkatkan kemahiran pengajaran secara digital.

Pengurus besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata pendekatan itu seiring dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang menuntut sesi pembelajaran dibuat secara dalam talian.

“Pusat pendidikan tadika tidak dibenar beroperasi tetapi Kerajaan Selangor mungkin boleh menawarkan kursus tersebut kepada mereka yang berminat supaya dapat menambah pengetahuan.

“Jika kumpulan berkaitan menyertainya di luar mungkin dikenakan bayaran maka saya berpandangan kursus dibuat secara percuma. Ia secara tidak langsung mampu kurangkan kos operasi,” kata Gan Pei Nei.

Beliau berkata demikian pada bual bicara ‘Dilema pendidikan prasekolah ketika pandemik’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor malam ini.

Dalam perkembangan lain, Pei Nei berkata fasa kedua permohonan bantuan sekali bayar RM150 kepada guru tadika akan dibuka pada 15 Ogos ini berikutan masih berbaki 3,000 kuota.

“Walaupun kita tidak dapat membantu semua tetapi sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban mereka yang mungkin gaji terpaksa dipotong sehingga menyebabkan sumber pendapatan berkurang,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya.

Inisiatif melalui Pakej Kita Selangor 2.0 itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM1.99 juta bagi meringankan beban golongan berkenaan yang mengalami kesukaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :