AGENSISELANGOR

Yawas bantu OKU lengkap dokumen mohon insentif RM500

SHAH ALAM, 15 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membantu orang kelainan upaya (OKU) melengkapkan permohonan bagi mendapat insentif RM500 di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata setakat Isnin lalu hanya 22 orang melampirkan dokumen lengkap daripada lebih 4,000 permohonan secara dalam talian diterima sejak 1 Julai lalu.

Menurut beliau, berkemungkinan golongan berkenaan menghadapi masalah mendapatkan dokumen diperlukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Kita memahami situasi itu dan bantu dengan memberi peringatan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) selain meminta kerjasama ketua komuniti mengesan pemohon terbabit.

“Yawas berhubung dengan pegawai pusat khidmat masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis serta ketua kampung untuk bantu pemohon melengkapkan dokumen,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi talian 018-256 7093/018-235 6213 untuk pertanyaan lanjut.


Pengarang :