Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop menyerahkan kerusi roda kepada Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Nurul Hamiza Mis pada 22 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor peruntuk RM12,000 naik taraf PPV Klinik Bestari Jaya

PETALING JAYA, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM12,000 untuk menaik taraf pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya, Kuala Selangor demi keselesaan petugas barisan hadapan.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu menggunakan peruntukan asnaf amil untuk mengubah suai kawasan parkir ambulans.

“PPV Klinik Bestari Jaya menjadi pusat pertama yang dibantu bagi kerja pengubahsuaian untuk kemudahan petugas barisan hadapan.

“Peruntukan ini disalur dalam masa terdekat supaya segera dinaik taraf demi manfaat semua pihak,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan sumbangan sebanyak 20 kerusi roda kepada pengurus PPV berkenaan Nurul Hamiza Mis.

“Ini merupakan tanda sokongan dan keprihatinan LZS terhadap usaha barisan hadapan yang bekerja keras untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar,” katanya.

Pada 26 Jun, LZS menyumbang 20 unit kerusi roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sokongan komitmen institusi awam menangani Covid-19.

Bantuan sebanyak RM1.0 juta disalurkan bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan PPV menggunakan peruntukan asnaf amil.


Pengarang :