Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi (kanan) menyampaikan sumbangan keperluan harian dan baucar kepada bekas atlet paralimpik memanah dan lumba kerusi roda Mohd Zamri Misran (kiri) di Petaling Jaya pada 14 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

106 OKU termasuk atlet para dapat keperluan asas

PETALING JAYA, 14 OGOS: Seramai 106 orang kelainan upaya (OKU) termasuk atlet sukan para yang terkesan akibat Covid-19, menerima sumbangan bekalan keperluan harian dan baucar barangan runcit, menerusi program dianjurkan Persatuan Olahraga Para Selangor, hari ini.

Program itu merupakan kerjasama antara persatuan berkenaan bersama Kelab Kiwanis Klang dan kEATchen, selain mendapat sokongan Persatuan Boccia Selangor dengan sasaran mengurangkan beban ditanggung golongan OKU, dalam tempoh mencabar susulan pandemik Covid-19.

Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang dijemput hadir memberikan sumbangan tersebut, melahirkan rasa syukur dengan usaha murni dilakukan itu.

Jelas Ras Adiba, tidak semua OKU terutama bekas atlet para negara berada dalam program bantuan sedia ada, sekali gus beliau menyeru semua pihak berganding bahu memastikan tiada seorang pun yang berada dalam kesulitan, akan tercicir daripada dibantu.

“Inilah masanya untuk kita berganding bahu, membantu sahabat-sahabat kita kerana mereka kini ada yang tiada kerja, justeru semua rakyat Malaysia kena membantu OKU…atlet dan bukan atlet, kerana memang susah sangat mereka di luar sana,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di perkarangan pejabat Persatuan Boccia Selangor itu adalah, Presiden Kelab Kiwanis Klang Rodney Rash Leo dan ‘Chief Overeating Officer’ kEATchen Ivan Chan.

“Kita mengharapkan lebih ramai individu tampil membantu golongan yang memerlukan selain kami turut mengalu-alukan mereka yang ingin membantu menerusi kelab kami,” kata Rodney.

-BERNAMA


Pengarang :