AGENSISELANGOR

12 cawangan LZS dibuka semula secara janji temu Isnin ini

SHAH ALAM: 21 OGOS: 12 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan beroperasi semula secara janji temu mulai Isnin ini selepas ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sejak 1 Jun lalu.

Agensi itu berkata waktu kesemua cawangan dibuka adalah berdasarkan hari bekerja bermula 10 pagi hingga 2 petang namun cawangan Kompleks UTC Shah Alam beroperasi setiap hari kecuali cuti umum, mulai tempoh waktu sama.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan LZS boleh melayari www.zakatselangor.com.my/janjitemu untuk membuat janji temu.

“Slot ini boleh ditempah selewat-lewatnya empat jam sebelum waktu operasi cawangan bermula. Namun ia tertakluk kepada kekosongan slot di cawangan pada hari tersebut,” katanya menerusi Facebook.

LZS juga menasihatkan pelanggan yang menghadirinya untuk sentiasa mengemas kini status risiko Covid-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, ia boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS,” katanya.

Menerusi perkongsian grafik, 12 cawangan LZS itu adalah di Presint ALAMi, Shah Alam; Subang Jaya, UTC Shah Alam, Kajang, Bandar Baru Ampang, Sungai Buloh, Kuala Kubu Bharu, Sungai Besar, Kuala Selangor, Kompleks Mais Klang, Banting dan Masjid Putrajaya.

Pada 31 Mei, ibu pejabat dan 23 cawangan agensi berkenaan ditutup bermula 1 hingga 14 Jun berikutan sekatan pergerakan penuh diumumkan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

LZS dalam kenyataan berkata penutupan itu tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan bulanan untuk asnaf sedia ada dan mereka akan tetap menerimanya seperti biasa.


Pengarang :