Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

12 golongan sasar terima manfaat data internet percuma setahun

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pemberian internet percuma selama setahun menerusi inisiatif Data Internet Selangor (DIS) bakal memanfaatkan 12 golongan sasar, kata ketua digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Kamarul Nizam Kassim berkata penerima subsidi itu membabitkan pelbagai latar belakang antaranya pelajar, petani, peniaga kecil, peniaga dalam talian, pekerja e-panggilan, belia dan ibu tunggal.

Katanya, turut menerima manfaat inisiatif tersebut adalah ketua kampung, orang asli serta ahli jawatankuasa masjid dan surau terdiri nazir, imam dan siak.

“Pemberian kad kad modul pengenalan pelanggan (SIM) membolehkan mereka mendapat capaian internet percuma, kita berharap bantuan ini memudahkan urusan contohnya untuk belajar dan berniaga.

“Malah kita menerima berbelas ribu maklum balasa sejak permohonan program DIS dibuka beberapa minggu lalu, sambutannya amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara bertajuk `Data Internet Untuk Warga Selangor’ yang disiarkan di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Bagi memastikan sasaran sampai, beliau berkata MBI menjalin kerjasama dengan beberapa agensi antaranya Kolej Universiti Islam Selangor, Universiti Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor.

“Pihak ini mempunyai data pelajar, jadi ia memudahkan urusan agihan manakala untuk peniaga pula kita bekerjasama dengan EXCO pembangunan usahawan, Hijrah dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan inisiatif Data Internet Selangor akan memanfaatkan 70,000 rakyat di Selangor.

Inisiatif bernilai RM17.5 juta, yang juga sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 dibiayai sepenuhnya oleh MBI.

MBI akan menanggung subsidi RM20 melalui tawaran produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan.

 

 


Pengarang :