Sukarelawan memeriksa sijil lengkap vaksin penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 22 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

1,400 individu di DUN Morib terima dos kedua vaksin

BANTING, 22 OGOS: Lebih 1,400 individu menerima dos kedua pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata pemberian suntikan kedua berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan jumlah kehadiran 600 orang semalam dan 800 individu esok.

“Suntikan dos kedua di dewan ini berlangsung selama lapan hari dan dimulakan DUN Morib, diikuti Banting, Tanjung Sepat dan Sijangkang,” katanya selepas meninjau program Selvax Komuniti di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua PPV Dewan MPKL Banting Baru Nur Zahirah Zainizam berkata proses pemberian dos kedua kepada penerima di daerah Kuala Langat akan berakhir pada 29 Ogos ini.

“Seramai 6,007 penerima di empat DUN terbabit dijangka hadir untuk melengkapkan suntikan vaksin. Sekiranya tidak dapat hadir, mereka akan diberikan tarikh janji temu dan perlu hadir ke Klinik Selcare berhampiran.

“Bagi suntikan dos kedua ini seramai 30 petugas dan sukarelawan ditempatkan di PPV ini bagi kelancaran proses vaksinasi,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :