Ir Izham Hashim (kanan) menyerahkan bantuan baja kompos melalui Pakej Kita Selangor kepada petani di Kampung Banting, Sabak Bernam pada 9 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,700 warga tani dipelawa mohon data internet percuma

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai 1,700 warga tani di Selangor yang belum memohon data internet percuma dipelawa berbuat demikian sehingga hujung bulan ini.

Seramai 2,000 warga tani disasar memperoleh manfaat melalui Data Internet Selangor namun hanya 300 membuat permohonan setakat ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pautan borang permohonan boleh diakses melalui Tinyurl.com/DISWargaTani sehingga 31 Ogos.

“Dengan adanya inisiatif ini, penerima akan mendapat data internet sebanyak 45gb sebulan selama setahun dengan percuma.

“Diharap warga tani Selangor segera memohon serta sebarkan inisiatif kepada kenalan yang layak,” katanya di Facebook.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor , peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

 


Pengarang :