Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah (kiri) menyerahkan set PPE kepada Timbalan Pengarah Operasi Jais Salwana Ahmad Dahlan untuk kegunaan petugas pengurusan jenazah pesakit Covid-19 pada 17 Ogos 2021. Foto Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

3,000 PPE untuk diguna petugas Jais urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 17 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memberi sumbangan 3,000 sut perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk kegunaan petugas pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Sumbangan merangkumi PPE Coveral Jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka N95, sarung tangan dan apron dengan nilai keseluruhan RM104,640.

Pengurus besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata itu sumbangan kali kedua selepas penyerahan 1,000 set peralatan sama berjumlah RM21,360 pada siri pertama 19 Julai lalu.

“Yide berterima kasih kepada semua petugas seliaan Jais yang telah menyempurnakan amanah ini dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan diserahkan kepada timbalan pengarah operasi Jais Salwana Ahmad Dahlan untuk diagih ke setiap daerah hari ini.

Nur Mohd Razali berkata pihaknya juga menghargai sumbangan orang ramai melalui Tabung Dana Musibah Yide bagi membantu golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai mengikut subseksyen 44 (6) akta cukai pendapatan 1967 melalui resit rasmi Yayasan Islam Darul Ehsan,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh layari laman sesawang https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan dalam talian melalui Bank Islam YIDE bernombor : 1223 40100 07330.


Pengarang :