Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBPJ Jalan 51A/227, Petaling Jaya pada 24 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

36 kluster baharu dikesan, 19 libatkan tempat kerja

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Sebanyak 36 kluster baharu Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 19 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sejumlah 13 kluster lagi merupakan kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan keagamaan.

“Johor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu lapan diikuti Selangor (empat) dan Kedah (dua) manakala lima negeri lain iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu lapan diikuti Pahang (tiga) serta masing-masing satu di Selangor dan Johor.

Katanya, sebanyak 212 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan kes kematian di rumah atau “brought-in-dead” (BID).

Beliau berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 227,230 dan mereka yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,095 orang dengan 579 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes sembuh hari ini pula ialah 15,187 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih mencecah 1.041 juta.

Dr Noor Hisham juga berkata daripada 17,236 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 372 atau 2.2 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata sebanyak 16,864 kes atau 97.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, secara keseluruhan, hanya 4,556 atau 26.4 peratus daripada kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :