Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) bergambar selepas menerima suntikan dos pertama vaksin di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi, semalam. Foto KDEB Waste Management (KDEBWM)
ADNSELANGOR

400 pekerja KDEBWM Kajang terima suntikan Selvax DUN Balakong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 400 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) Kajang menerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Balakong semalam.

Ahli Dewan Negeri Wong Siew Ki berkata pihaknya menghargai pekerja terbabit mengatakan walaupun ramai daripada mereka buta huruf tetapi masyarakat bergantung kepada perkhidmatan golongan itu.

“Saya masih ingat kesusahan yang kita hadapi bulan lepas semasa sebahagian pekerja KDEBWM telah dijangkiti Covid-19 dan sebahagian lagi di bawah kuarantin kendiri.

“Perkhidmatan kutipan sampah hampir terjejas di beberapa kawasan pada masa itu. Lindungan kepada pekerja-pekerja kita perlu diadakan dan berharap dengan program ini mereka lebih terlindung dan juga melindungi komuniti kita,” katanya di Facebook.

Pekerja KDEBWM menerima suntikan Selvax Komuniti DUN Balakong di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall semalam.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :