V. Ganabatirau meluangkan masa berbual bersama penerima program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 29 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

413 permohonan alatan mula niaga dilulus, legakan golongan hilang kerja

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 413 permohonan bantuan peralatan untuk memulakan perniagaan diluluskan Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata dana melalui program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan bertujuan membantu golongan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 memulihkan semula ekonomi mereka.

“Permohonan yang diluluskan akan menerima peralatan dalam masa terdekat. Bantuan ini merupakan tambahan kepada 269 permohonan yang kita luluskan pada tahun lepas.

“Ini tidak termasuk bantuan wang tunai sekali bayar sejumlah RM400 kepada 1,100 peniaga terjejas yang diberikan sejak pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat melegakan golongan yang kehilangan pekerjaan selain membantu memulakan cabang baharu pendapatan dalam bidang perniagaan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan selain menggalakkan program keusahawanan untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Sejumlah RM2 juta diperuntuk pada setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.


Pengarang :