Pemandu teksi Anuar Yaakob, 69, kelihatan gembira setelah menerima sumbangan barang keperluan asas makanan semasa program serahan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, Petaling Jaya pada 6 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

5,539 pemandu teksi, bas sekolah dapat bantuan makanan sejak Januari

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 5,539 pemandu teksi, van dan bas sekolah di seluruh negeri yang terjejas pendapatan akibat pandemik mendapat bantuan makanan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata bantuan bernilai RM100 yang diagihkan sejak Januari tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM553,900.

“Pengedaran bakul makanan ini dilaksana Yayasan Food Bank Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan diselaras Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

“Kerajaan Negeri akan memastikan tiada golongan tertinggal dalam sebarang bentuk bantuan pada masa akan datang agar lebih ramai dapat menikmatinya demi kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kebajikan pemandu teksi, van dan bas pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Inisiatif bakul makanan antara yang terangkum dalam Pakej Kita Selangor, yang turut memanfaatkan penyewa projek perumahan rakyat, pemandu lori sisa pepejal kendalian KDEBWM dan Orang Asal.

Bantuan itu sekali lagi diumumkan pada Jun lalu melalui Pakej Kita Selangor 2.0 dan diperluas kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya dan pesakit Covid-19.


Pengarang :