Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

600 penduduk Jeram dijangka terima vaksin Selangor

KUALA SELANGOR, 3 OGOS: Seramai 600 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dijangka menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Pengarah programnya berkata sasaran mengambil kira bilangan individu didaftarkan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain kehadiran peserta secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor di sini.

“Sejak pendaftaran dibuka minggu lalu, kita menerima kira-kira 1,000 permohonan namun selepas saringan didapati kebanyakannya mendapat janji temu melalui MySejahtera beberapa hari sebelum program ini bermula.

“Untuk program hari ini setakat jam 3 petang, hampir 300 individu menerima dos pertama membabitkan rakyat tempatan dan warga asing dengan majoriti berusia 30 tahun ke atas,” kata Norman Naim Muhamad Rani yang juga ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Sementara itu, penyelaras DUN Jeram berkata tahap kesedaran penduduk untuk mendapatkan vaksin semakin meningkat susulan kebimbangan terhadap varian berbahaya Covid-19.

“Semasa kita pergi dari rumah ke rumah untuk mendaftar, penduduk memberikan sambutan baik biarpun sebahagiannya memaklumkan sudah divaksin di klinik kesihatan berhampiran,” kata Nagmudin Hussain.

Kerajaan Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin yang bakal memanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini menerusi Selvax Komuniti.

Maklumat berkaitan program berkenaan boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :