Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 22 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

61.9 peratus penduduk dewasa negara ini lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Sebanyak 61.9 peratus atau 14,487,972 individu daripada populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan seramai 19,241,946 individu atau 82.2 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 33,724,744 dos.

Menurut JKJAV, 58.9 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 44.4 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam pula merekodkan sebanyak 336,642 dos dengan 190,010 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 146,632 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :