Selangorkini
Kumpulan pemuzik jalanan membuat persembahan bagi menghiburkan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran DUN Tanjung Sepat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Banting Baru, Kuala Langat pada 6 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

720 pemuzik jalanan jana pendapatan, hiburkan pengunjung PPV

SHAH ALAM, 9 OGOS: Seramai 720 pemuzik jalanan atau busker terlibat dalam projek Kita Buskers Selangor di enam pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri.

Selain menghiburkan orang ramai, pengurus projeknya berkata Kerajaan Negeri bagi membantu melalui pemberian wang sagu hati bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang perintah kawalan.

Mohd Hilmie Sa’ban menjelaskan projek selama sebulan mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.

“Terdapat dua sesi di setiap PPV dan setiapnya melibatkan dua busker. Kebajikan dan kelengkapan audio disediakan dan mereka hanya membawa alat muzik yang digunakan sahaja,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata semua pemuzik terlibat diwajibkan menjalani saringan bagi mengekang penularan wabak, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Mohd Hilmie menambah mereka juga perlu mengikut syarat ketat ditetapkan iaitu sentiasa memakai pelitup muka dan tidak boleh menjemput individu lain untuk menyanyi bersama.

“Saya berharap projek ini dapat diperluas ke setiap PPV seluruh Selangor bagi membantu golongan busker menjana pendapatan,” katanya lagi.

Pada 7 Ogos, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.


Pengarang :