Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa penerima vaksin ketika meninjau lokasi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

8,239 penduduk terima bantuan tambang RM20 seorang ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan 8,239 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan sejumlah RM68,400 diluluskan bagi pemberian inisiatif itu.

“Sehingga 1 Ogos, Inisiatif Rebat Pengangkutan ke PPV kerjasama dengan Grab Malaysia telah menerima 11,223 permohonan. Sebanyak 8,239 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan RM68,400.

“Pendaftaran masih dibuka. Daftar di https://rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com/,” katanya menerusi Facebook.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.


Pengarang :