Koordinator membantu orang ramai mendaftar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum dibenarkan memasuki dewan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

90,000 penduduk Kuala Langat sudah terima dos pertama vaksin

BANTING, 8 OGOS: Kira-kira 90,000 penduduk Kuala Langat sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat minggu ini.

Koordinator pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang berkata berdasarkan data Badan Bertindak Imunisasi Covid-19, jumlah itu melibatkan 90 peratus daripada 100,000 populasi penduduk berusia 18 tahun ke atas yang layak divaksin.

“Jadi Selvax (Program Vaksin Selangor) Komuniti ini akan melengkapkan jumlah yang masih belum terima pelalian. Hari ini, walaupun program dikhaskan untuk DUN Sijangkang, namun kita tetap terima pendaftaran penduduk kawasan lain.

Koordinator Pusat Pemberian Vaksin (PPV) DUN Sijangkang, Hairul Nizam Tohar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Matlamat Selvax sememangnya mahu memvaksin seramai mungkin termasuk warga asing bagi membentuk imuniti kelompok lebih cepat,” kata Hairul Nizam Tohar ketika ditemui di Dewan MPKL Banting Baru hari ini.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Sementara itu, Hairul Nizam berkata pihaknya terpaksa mengehadkan jumlah warga asing yang datang tanpa janji temu hari ini kepada 500 individu selepas sambutan menggalakkan.

“Jumlah kehadiran terlalu ramai. Difahamkan mereka mula beratur sejak jam 6.30 pagi, yang datang lewat diminta pulang kerana program ini lebih mengutamakan warga tempatan,” katanya.


Pengarang :