Juwairiya Zulkifli membantu orang ramai mendaftar bagi mendapatkan vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Bukit Melawati edar 1,000 bantuan makanan untuk individu dikuarantin

KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Sebanyak 1,000 bakul makanan telah diedar kepada individu yang dikuarantin di Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmatnya banyak menerima permohonan daripada golongan berkaitan di mana hampir 10 keluarga memohon dalam masa sehari.

“Sebelum ini kita buka kepada semua tetapi kali ini khusus kepada mereka yang dikuarantin.

“Sejurus menerima laporan, bantuan bakul makanan akan terus dihantar pada hari yang sama,” kata Juwairiya Zulkifli ketika ditemui pada Porgram Vaksin Selangor (Selvax) di Dewan Bandar Baru di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga menerima permohonan bantuan peranti dalam kalangan pelajar sekolah serta universiti dengan 15 komputer riba telah diagihkan bagi membantu mereka mengikuti kelas secara dalam talian.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat bagi menjayakan program Mesra Rakyat ditambah kepada RM100,000 tanpa mengira fahaman politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan RM50,000 diberi kepada mereka bagi mengagih bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Kerajaan Negeri juga menyalur RM30,000 kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang tidak menerima peruntukan peringkat Persekutuan bagi memudahkan mereka membantu rakyat.


Pengarang :