Dr Gunarajah George menyampaikan pek keperluan asas kepada penduduk ketika program pengedaran barangan asas anjuran DUN Sentosa di Taman Sri Mewah, Klang pada 14 Ogos 2021.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN cadang krematorium di setiap PBT atasi isu jenazah pesakit Covid-19

KLANG, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa akan mencadangkan kewujudan kompleks pembakaran di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) akhir bulan ini.

Dr Gunarajah George berkata usul tersebut wajar dibincangkan berikutan krematorium sedia ada tidak mampu menampung peningkatan mayat mangsa Covid-19 dalam kalangan bukan Islam sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Kekurangannya mengehadkan proses pengebumian atau pembakaran mayat. Ada jenazah terpaksa menunggu sehingga lima hari kerana tiada slot dan kita tidak boleh mengamalkan pembakaran terbuka.

“Jadi, inilah masa kita perlu saran dan pastikan PBT mesti memiliki sekurang-kurangnya satu krematorium,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan barangan asas kepada individu memerlukan di perkarangan pusat khidmatnya di sini hari ini.

Setakat ini, hanya lima PBT di Selangor memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Gunaraj turut menyaran pihak berkuasa itu memberi perkhidmatan pembakaran mayat secara percuma bagi meringan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Setiap hari kita terima permintaan lima keluarga untuk pengebumian dan kos minimum bagi masyarakat India RM2,000, jadi PBT perlu membantu golongan ini,” katanya.

DNS dijadual bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.


Pengarang :