Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Meru sedia bas percuma bawa penduduk ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 6 OGOS: Wakil rakyat Meru mengambil inisiatif menyediakan sebuah bas percuma bagi kemudahan pengangkutan penduduk medapatkan pelalian program Vaksin Selangor (Selvax).

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pengangkutan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) De Palma Hotel pada 9 dan 10 Ogos ini berpusat di Klang Sentral.

“Kita akan maklumkan waktu pergerakan bas dari Klang Sentral itu dari masa ke semasa dan bas yang kita akan gunakan ini adalah Bas Smart Selangor.

“Selain itu kita juga galakkan orang ramai memohon rebat RM20 menggunakan Grab ke PPV yang disediakan Kerajaan Negeri bagi keselesaan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga meminta orang ramai membuat pra daftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi kelancaran program itu nanti.

Katanya, walaupun daftar secara terus boleh dilakukan namun dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan dan masa menunggu lama.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri. 


Pengarang :