ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri bercakap kepada media selepas melancarkan program Bantuan Makanan Asas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Covid -19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya pada 5 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
ADNSELANGOR

ADN Pelabuhan Klang bawa isu vaksin pada sidang dewan negeri

KLANG, 20 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang akan membawa isu pemberian vaksin Covid-19 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula minggu depan.

Azmizam Zaman Huri berkata aspek keberkesanan pelalian serta kapasiti pembekalan diutamakan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat jelas.

“Kita nak tahu apakah pelaksanaan program vaksin dapat menghentikan virus kerana ada juga yang masih dijangkiti walaupun lengkap mendapat suntikan dos.

“Jadi kita ingin tahu apa tindakaan susulan untuk menghentikan penularan Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijangka berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada hari pertama.

Manakala proses saringan melibatkan semua ADN di bangunan sama diadakan hari ini dan Azmizam berharap beliau dalam keadaan sihat bagi menghadiri sidang berkenaan.

Sementara itu, beliau berasa gembira melihat semakin ramai penduduk di kawasan DUNnya tampil mendapatkan vaksin bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kemudahan PPV (pusat pemberian vaksin) yang banyak sekitar Klang memudahkan penduduk selain Program Vaksin Selangor (Selvax) turut meningkatkan penerima vaksin,” katanya.


Pengarang :