ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyambut ketibaan EXCO pembangunan luar bandar Borhan Aman Shah bersama rombongan Kelab Motor Klasik ke Kampung Asahan, Kuala Selangor pada 25 Disember 2020. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Pemasyhuran MPKS beri penduduk kehidupan lebih sejahtera

SHAH ALAM, 7 OGOS: Hari bersejarah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diisytihar majlis perbandaran wajar dirai penuh kesyukuran, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli mengambil kesempatan merakam ucapan tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat dan seluruh warga kerja atas pengisytiharan itu.

“Penaiktarafan ini bakal memberikan penduduk kehidupan lebih sejahtera lagi lestari, mutu penyampaian perkhidmatan lebih berkualiti dan pembangunan sosioekonomi serta pemeliharaan alam semulajadi seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya Zulkifli

Beliau menyambut baik komitmen Yang Dipertua MPKS untuk menaiktaraf aset dan kepelbagaian produk ekopelancongan dan warisan di Kuala Selangor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Antaranya Taman Alam Kuala Selangor, Dataran Keris, Bukit Malawati, Sky Mirror, Kota Tanjung Keramat, Pekan Lama Kuala Selangor dan Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan sebagaimana terkandung dalam Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025.

“Sesungguhnya aset dan khazanah warisan tempatan ini harus terus dipelihara dan diangkat sebagai permata pelancongan dan warisan negara.

“Semoga usaha MPKS dan Kerajaan Negeri dalam memastikan urus tadbir yang cekap dan amanah disamping kemajuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan mengisytihar MDKS kepada perbandaran selepas 43 tahun berstatus daerah.

Upacara pengisytiharan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.


Pengarang :