Halimey Abu Bakar meletakkan makanan asas ke dalam kotak penghantar makanan pada program serahan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, Petaling Jaya pada 6 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN seru jangan lepaskan peluang ambil vaksin negeri

PETALING JAYA, 6 OGOS: Wakil rakyat Seri Setia menyeru orang ramai mendaftar suntikan tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Halimey Abu Bakar berkata tawaran melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas mulai 3 hingga 13 Ogos.

“Mereka yang mahu segera divaksin boleh datang ke lokasi ditetapkan dan memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta masukkan kod baucar disediakan.

“Rakyat perlu memanfaatkan peluang diberikan kerana sasaran kerajaan ketika ini untuk mencapai imuniti kelompok seterusnya mencegah gejala serius,” katanya selepas mengagihkan pek makanan kepada golongan terkesan akibat Covid-19 di sini hari ini.

Halimey berkata vaksin turut ditawarkan kepada warga asing di lokasi sama mulai 10 hingga 13 Ogos, dengan majikan perlu mendaftar awal bagi kelancaran proses suntikan.

“Majikan harus daftarkan nama pekerja dan ingatkan mereka untuk muat turun aplikasi SELangkah supaya tidak berlaku kesesakan di PPV sekali gus memudahkan tugas sukarelawan,” katanya.

Selain Kompleks Sukan PKNS, Selangor menyediakan empat lagi PPV khusus untuk suntikan tanpa janji temu iaitu di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya, Evo Mall, Bandar Baru Bangi, Aurora Place, Bukit Jalil dan Hotel De Palma, Shah Alam.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan warga emas.


Pengarang :