Selangorkini
Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Datuk Soh Chin Ann yang disenaraikan dalam Century Club sebagai pemilik ‘caps’ antarabangsa terbanyak. Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Soh Chin Ann diiktiraf Fifa

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Ann yang dinobatkan sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan yang sama, terhadap bekas pertahanan skuad kebangsaan itu yang disenaraikan dalam ‘Fifa Century Club’ sebagai pemilik ‘caps’ antarabangsa terbanyak FIFA dengan 195 ‘caps’.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau menduduki tempat pertama, sekali gus melakarkan sejarah serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka berdua juga menyifatkan pencapaian Chin Ann ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia. Tahniah dan syabas,” menurut hantaran itu.

Fifa Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

Chin Ann yang mewakili pasukan kebangsaan dari 1969 hingga 1984, merupakan antara empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh, yang disenaraikan Fifa dalam kemas kini terbaharu pada 3 Ogos lepas.

Jumlah penampilan Chin Ann mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 penampilan, Bader Al Mutawa dari Kuwait (181) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Antara legenda bola sepak antarabangsa dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Hantaran tersebut turut memaklumkan antara legenda bola sepak tanah air yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan mendiang Datuk R. Arumugam (131).

-BERNAMA


Pengarang :