Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ketika berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Melawati pada 17 Ogos 2020. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Tun Ahmad Sarji

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Dilahirkan pada 16 Sept 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam negara yang amat disegani dan dihormati.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

-BERNAMA


Pengarang :