Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah adakan undi percaya PM baharu di Parlimen secepat mungkin

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik perlu mengemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka menzahirkan titah itu susulan sesi menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam.

Seri Paduka bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda adalah menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” kata Ahmad Fadil.

Turut berangkat bersama pada sesi menghadap yang berlangsung lebih 90 minit bermula jam 2.30 petang itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

“Seri Paduka akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu berkata Yang di-Pertuan Agong juga mengingatkan ketua dan wakil parti-parti politik yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya dan bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan suasana.

Beliau berkata Seri Paduka dan Sultan Perak menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

“Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera,” kata Ahmad Fadil.

Berhubung sesi menghadap itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak berkenan menganjurkan sesi tersebut bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa pada 16 Ogos lalu.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menzahirkan titah antara tujuan utama sesi menghadap itu adalah untuk menyatakan bahawa sesiapa pun yang dilantik menerajui kepimpinan kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan perlembagaan dan rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan terutama ketika negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Majoriti ‘frontliners’ (barisan hadapan) berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil.

Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah bertitah perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19 termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong mengingatkan kesemua 220 Ahli Parlimen  untuk mengemukakan surat akuan (SD) masing-masing yang menyatakan ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh mereka untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu kepada pihak Istana Negara sebelum jam 4 petang hari ini.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :