Pengunjung yang hadir membeli barangan keperluan harian basah dan kering di Pasar Agro PKPS Prihatin, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Agro Prihatin Selangor diperluas, bina pusat jualan di kebun komuniti

SHAH ALAM, 29 OGOS: Program Agro Prihatin Selangor meluaskan jualan hasil ladang dengan membuka tapak berhampiran kebun komuniti, menurut Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS).

Pengurus kanan pembangunan institusi pemasarannya berkata tapak jualan Kebun Komuniti Seksyen 7 menjadi projek rintis dan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad sejak awal bulan ini.

Pengurus Kanan Pembangunan Institusi Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Fazir Abdul Latif

“Mengikut perancangan, tapak jualan kebun komuniti ini juga akan dibuka di Puchong, Selayang dan Putrajaya namun ia belum diputuskan. Kira-kira 10 peniaga terbabit.

“Dengan penambahan pusat jualan ini orang ramai lebih mudah mendapatkan produk segar dan harga berpatutan,” kata Mohd Fazir Abdul Latif.

Menurutnya, tapak itu tidak hanya menjual hasil tanaman kebun komuniti sahaja sebaliknya juga hasil dari Selangor Fruit Valley, Rawang.

“Pusat ini bukan bersaing dengan pasar tani tetapi kita mahu meluaskan jualan dan memudahkan orang awam mendapat bekalan segar,” katanya.

Pada Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan program berkenaan dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 10 lokasi terpilih.

Lokasi berkenaan di Wisma PKPS, Seksyen 14; Wisma Sidah, Seksyen 7; Holysmike Cafe, Seksyen 13; Taman Meru Jaya, Meru dan Selangor Fruit Valley.

Lima premis lagi membabitkan pusat operasi Agropreneur Selangor (Agrosel) Bangi, Kota Raja, Pandan Indah dan pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Puchong dan Dengkil.


Pengarang :