Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada 12 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahli MPT Bersatu: PM dijangka buat pengumuman esok

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas esok, demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Insya-Allah ada pengumuman (oleh Muhyiddin)… apa pun kita tunggulah esok,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas Bersatu di Publika, Jalan Dutamas, di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti.

Antara yang kelihatan hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 9 pagi itu ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan ahli MPT iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Kamarudin Jaafar, Datuk Mansor Othman serta Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Selain pimpinan Bersatu, turut kelihatan hadir adalah Ahli Parlimen Kuala Langat (Bebas), Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan reaksi perdana menteri tidak berjaya selepas difahamkan beliau beredar mengikut laluan lain selain ahli MPT Bersatu yang lain juga enggan memberikan komen lanjut.

Jumaat lalu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas antara lain menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain, namun tawaran itu ditolak majoriti parti pembangkang.

Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Redzuan, yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka, berkata mesyuarat berkenaan membincangkan hala tuju sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Perdana Menteri telah mengkaji setiap pilihan terakhir semata-mata untuk kepentingan rakyat dalam keadaan kita krisis hari ini. Tetapi kita akur kepada Perlembagaan, (dan) sekiranya menarik sokongan atas kepentingan peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat, maka kita kena uruskanlah dengan yang terbaik.

“Itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan negara ini terus diterajui oleh kepimpinan yang boleh beri keprihatinan kepada rakyat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :