Beberapa kenderaan yang membawa ahli parlimen Barisan Nasional memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setakat jam 10.36 pagi, 19 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahli parlimen BN, PAS antara tiba di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Istana Negara terus menjadi tumpuan hari ini, tiga hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lepas.

Bas membawa ahli parlimen Umno dilihat memasuki pintu dua Istana Negara pada pukul 10.38 pagi, diikuti lebih 10 kenderaan lain.

Difahamkan, ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS juga antara yang dijadual tiba di Istana Negara antara pukul 11 pagi hingga 4 petang ini.

Pada pukul 4 petang semalam, tamat tempoh untuk ahli parlimen menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Notis itu yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kepada 220 ahli Dewan Rakyat, bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh, Isnin lepas.

-BERNAMA


Pengarang :