Persidangan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
BERITA UTAMASELANGOR

Ahli politik harus galas mandat rakyat, patuh titah Sultan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Semua ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksanakan tugas mengikut mandat rakyat, kata timbalan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hasnul Baharuddin berkata perebutan kuasa tidak seharusnya berlaku dan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor semalam harus menjadi ingatan.

“Sudah tentu titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait dengan suasana DNS meskipun kemungkinan untuk berlaku perebutan kuasa itu amat rendah tetapi ingatan Tuanku perlu dipatuhi.

“Setiap ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksana tugas mengikut mandat rakyat…sebagai wakil rakyat kita perlu menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Semalam, Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Baginda bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.


Pengarang :