Selangorkini
Petugas pembersihan melakukan kerja-kerja penyemburan cecair nyahkuman dalam kuil menjelang sambutan perayaan Deepavali ketika tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 7, Shah Alam pada 13 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aktiviti agama rumah ibadat selain Islam terhad 50 orang

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyelaras tatacara operasi piawai (SOP) bagi pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk penerima vaksin Covid-19 lengkap.

KPN menerusi kenyataan memaklumkan bagi negeri Fasa Satu dan Dua PPN, kehadiran penganut yang lengkap vaksinasi bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang adalah terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa dengan waktu beroperasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.

Bagi negeri di Fasa Tiga PPN, had kehadiran penganut yang telah lengkap vaksinasi bagi aktiviti keagamaan atau sembahyang pula tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat, manakala waktu beroperasi dibenarkan adalah dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.

Menurut kenyataan itu, penerima vaksin lengkap merujuk kepada penganut yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac dan penganut berkenaan mesti telah melepasi 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, penganut berkenaan mesti telah melepasi 28 hari dari tarikh suntikan.

Negeri di Fasa Satu PPN ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.

Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa Dua PPN manakala Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak berada di Fasa Tiga.

-BERNAMA


Pengarang :