Orang awam berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur selepas kerajaan membenarkan aktiviti riadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 17 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aktiviti riadah di taman rekreasi awam dibenar mulai esok

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan setuju membuka taman-taman rekreasi awam di negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negera untuk tujuan riadah mulai esok, kata perdana menteri.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin kebenaran itu terhad kepada aktiviti jogging, berbasikal dan bersenam secara individu di taman-taman rekreasi awam dalam kawasan kejiranan sahaja.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.

“Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya dalam kenyataan mengenai kemudahan sektor sosial bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, hari ini.

Pada masa sama Muhyiddin mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan supaya bertanggungjawab memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di lokasi berkenaan untuk memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan bagi mengelakkan mudarat.

Negeri dan wilayah yang termasuk dalam Fasa 1 PPN ialah Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Seorang individu dikira lengkap vaksinasi selepas 14 hari menerima suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

BERITA LANJUT MENYUSUL


Pengarang :