Buku biografi karya Martin Lings berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Facebook IBDE
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Altimet syor baca biografi terbaik Rasulullah, tingkat kefahaman Islam

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penyanyi hip hop Altimet mengesyor umat Islam mendapatkan buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal bagi memahami kisah hidup baginda.

Beliau berkata tulisan Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin yang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), syarikat yang dibantu Kerajaan Negeri, ditulis dalam gaya bahasa mudah tetapi indah.

“Walaupun belum habis baca tetapi saya saran ibu bapa beragama Islam atau anak-anak yang sudah memasuki peringkat belia supaya beli buku ini.

Penyanyi hip hop tanah air, Altimet. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Format dan cara penulisannya boleh mencetuskan pemahaman dan kasih sayang lebih mendalam kepada Rasulullah SAW,” kata pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Bercakap sebagai ahli panel bedah buku bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan dua penterjemah buku itu, beliau berkata biografi mengandungi 85 bab banyak memberi konteks kisah hidup Rasulullah selain penceritaan riwayatnya paling komprehensif.

Pemenang trofi kategori persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 berkata pengisahan dalam buku itu membawa pembaca seolah-olah berada pada zaman tersebut.

“Belajar di sekolah mungkin agak kering tetapi cara penceritaan melalui terjemahan seolah-olah kita nampak individu atau watak seseorang serta keadaan persekitaran termasuk cara berinteraksi,” katanya.

Selain menyentuh sisi peribadi baginda, buku setebal 496 halaman dianggap biografi terbaik mengenai Rasulullah SAW dan banyak meraih anugerah antarabangsa.

Biografi tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang dan Facebook IBDE serta platform e-dagang Shopee dengan carian Buku IBDE atau hubungi penerbit 012-6601601.


Pengarang :