Selangorkini
Wakil rakyat pembangkang bangun menyatakan rasa tidak berpuas hati ketika sidang khas Parlimen pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA RENCANA

ANALISIS: Kes meningkat darurat gagal, timbul pula isu dengan Istana

SHAH ALAM, 3 OGOS: Hasrat Putrajaya menguat kuasa Proklamasi Darurat, konon untuk membendung Covid-19, ternyata gagal apabila kes terus meningkat hingga lima kali ganda.

Selain jumlah jangkitan tidak terkawal, perisytiharan darurat juga menimbulkan ketegangan antara pentadbiran pusat dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila titah Baginda agar ia dibahaskan tidak dilaksanakan segera.

Keadaan ini meletakkan rakyat dan pemimpin politik dalam keadaan serba salah sama ada enam Ordinan Darurat yang dibuat semasa perintah darurat wajar dibahas atau tidak di Parlimen.

Sewaktu darurat dikuat kuasa pada 11 Januari, jumlah jangkitan hanya 2,232 kes dan meningkat sedikit kepada 3,309 kes pada keesokannya. Namun mulai April, kes kembali kepada awal darurat setelah menurun sedikit bulan sebelumnya.

Darurat semakin dipertikaikan apabila jumlah jangkitan terus meningkat sehingga melepasi paras 9,000 kes pada hujung Mei. Setelah tujuh bulan perintah darurat, kes melonjak kepada 17,786 kes pada 31 Julai, sehari sebelum darurat tamat.

Tidak hanya menjual retorik kawalan Covid-19, Proklamasi Darurat juga menggantung sidang Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri, selain menangguhkan semua pilihan raya.

Keputusan ini mencetuskan perdebatan sejak awal sehingga Yang di-Pertuan Agong bertitah persidangan Parlimen masih boleh dijalankan walaupun negara dalam darurat. Namun tiada persidangan diadakan pada Mac lalu seperti lazim.

Susulan itu, setelah kes tidak turun-turun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada pertengahan Jun lalu.

Baginda bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk membahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Raja-Raja Pemerintah pula menzahirkan pandangan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Al-Sultan Abdullah bertitah sekali lagi peri pentingnya perbahasan topik-topik tersebut ketika menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada akhir Jun.

Namun titah Baginda tidak dituruti sehingga Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan dan juga Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang menghadap Baginda pada 24 Julai, dua hari sebelum sidang khas Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” pada 29 Julai setelah Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan pada hari pertama sidang khas Dewan Rakyat bahawa semua enam Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai.

Terkejut dengan kenyataan tersebut, ahli-ahli parlimen mendesak usul pembatalan dibentang dan dibahaskan dalam persidangan minggu lalu. Namun kerajaan pula menegaskan sidang khas itu hanya sekadar penerangan menteri, bukannya usul mengungkai Ordinan Darurat.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan kerajaan untuk membawa usul membahas dan mengungkai ordinan tersebut pada persidangan September ini.

Bagaimana boleh muncul kontroversi ini? Berikut tarikh-tarikh penting isu darurat sejak ia dimasyhurkan pada Januari lalu:

Barisan pemimpin semua parti pembangkang termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos 2021. Foto YUISRIAH YUSOF

23 Oktober 2020: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin persembah permohonan pelaksanaan darurat di Istana Abdul Aziz, Kuantan

25 Oktober: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak perkenan cadangan darurat

11 Januari 2021: Perdana menteri ke Istana Negara menyembah maklum cadangan baharu pelaksanaan Pengisytiharan Darurat untuk bendung Covid-19

* Darurat diisytihar di seluruh negara hingga 1 Ogos. Sebanyak 2,232 kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama darurat

12 Januari: Muhyiddin umum darurat secara langsung, maklumkan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang sepanjang tempoh darurat

* Semua pilihan raya termasuk kecil bagi menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia tidak akan diadakan ketika darurat

* Kuasa masih di tangan eksekutif untuk gubal Ordinan Darurat dan perintah berkurung tidak akan diperkenalkan

13 Januari: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diperkenalkan di enam negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur

14 Januari: Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 setebal 12 halaman yang berkuat kuasa mulai 11 Januari dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong

24 Februari: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang walau dalam tempoh darurat ketika majlis menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

21 April: Jumlah jangkitan mula kembali ke paras awal darurat dengan 2,551 kes setelah menurun kepada lebih 1,000 kes sepanjang Mac

29 Mei: Jumlah jangkitan 9,020 kes, lebih kurang empat kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat berkuat kuasa

16 Jun: Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk bahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu

* Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan pandangan tiada keperluan negara berada dalam keadaan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos

29 Jun: Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin” ketika menerima menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

5 Julai: Kerajaan umum sidang Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai hingga 2 Ogos

26 Julai: Parlimen hanya mengadakan sidang khas bagi taklimat beberapa menteri. Sidang ini tidak membolehkan perbahasan, usul dan undi

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan maklum Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuatkuasa 21 Julai

* Ahli parlimen pembangkang persoalkan tindakan itu dan Takiyuddin akan beri penjelasan pada hari akhir sidang khas 2 Ogos

29 Julai: Yang di-Pertuan Agong “amat dukacita” pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda, ulang kali keempat ia harus dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti dititahkan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai

* Pejabat Perdana Menteri jelaskan sidang khas hanya “penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat”

* Ia juga jelaskan kabinet putuskan untuk nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk batalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen 26 Julai

* Sidang khas Parlimen ditunda beberapa kali termasuk untuk mengadakan saringan selepas dimaklumkan ada dua kes Covid-19 dikesan dalam saringan

30 Julai: Warkah Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri tersebar di media sosial walau tiada pengesahan atau penafian daripada Istana Negara

* Kandungannya jelaskan asas-asas Baginda tidak perkenan batalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen seperti diputus oleh jemaah menteri sendiri

* Sembilan lagi kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan sebelum persidangan Dewan Negara seperti dimaklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua hari kemudian

31 Julai: Jumlah jangkitan tertinggi di seluruh negara dengan 17,786 kes, membuktikan alasan mengadakan darurat gagal sepenuhnya setelah  peningkatan dikesan sejak April dan memuncak semula pada Mei

* Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon arahkan tiada sidang khas pada 2 Ogos yang dijadual membincangkan isu darurat

1 Ogos: KKM cadang semua sesi pertemuan termasuk sidang khas dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas ditangguh selama dua minggu mulai 29 Julai

2 Ogos: Parlimen ditutup dengan semua laluan ke bangunan tersebut dalam kawalan ketat polis

* Lebih 100 ahli parlimen semua parti pembangkang berarak dari Dataran Merdeka ke arah Parlimen tetapi dihalang oleh polis, termasuk pasukan cegah rusuhan

3 Ogos: Perdana menteri menyatakan kesediaan kerajaan bawa usul bahas dan ungkai ordinan tersebut pada sidang September ini


Pengarang :