Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas selesai sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 17 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anwar junjung titah Agong lantik PM, ajak penyokong menangi PRU15

SHAH ALAM, 21 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu.

Dalam kenyataan malam tadi, ketua pembangkang berkata keputusan tersebut dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Dengan penuh takzimnya saya mewakili pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda atas pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan menganggap keputusan itu cabaran kepada pembangkang untuk bekerja lebih gigih bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15 agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada PRU lalu,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno sebagai perdana menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan ahli parlimen Bera selepas Baginda menerima surat akuan seramai 114 ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ismail Sabri dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara jam 2.30 petang ini.


Pengarang :