Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas selesai sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 17 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Pemimpin parti politik perlu kerjasama, wujud persefahaman baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Semua pemimpin parti perlu bekerjasama bagi mewujudkan politik baharu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong memulakan sesi pertemuan di Istana Negara dengan titah nasihat bahawa semua pihak harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan menangani kemelesetan ekonomi.

“Tuanku Agong juga memberitahu tentang lunas-lunas Perlembagaan agar dapat mencari calon Perdana Menteri yang mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen. Tetapi politik harus berubah.

“Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru,” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata membentuk politik baharu yang lebih aman untuk rakyat juga penting sebagaimana ditekankan Seri Paduka Baginda.

“Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baru, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Tuanku Agong dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas satu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya.

Hari ini ketua-ketua parti politik hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Antaranya, timbalan presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan ahli parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sesi menghadap selama dua jam itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.

 


Pengarang :