Pengunjung melihat karya pelukis tempatan, Ali Yusoff pada pameran Project ‘A’-Last Man Standing di Balai Seni Negara pada 26 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Bantuan tunai, geran karya bantu penggiat seni hilang sumber rezeki

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang menyediakan bantuan kewangan dan geran karya kepada penggiat seni kreatif di Selangor yang terjejas pendapatan susulan Covid-19.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata langkah itu membolehkan lebih banyak karya dihasilkan seterusnya merancakkan kembali industri yang menjadi sumber rezeki golongan terbabit.

“Kita sudah menghantar kertas cadangan berhubung perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri dan menunggu maklum balas,” kata Alina Abdullah ketika dihubungi.

Dalam laporan kaji selidik dikeluarkan Galeri Shah Alam, sebanyak 90 peratus daripada 372 pekerja industri seni di seluruh negara berdepan masalah ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kaji selidik dalam talian yang dijalankan antara 24 Jun hingga 5 Julai lalu mendapati sebanyak 58 peratus memerlukan bantuan geran karya dan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu, Alina meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menempatkan penggiat seni di perusahaan mereka sebagai artis residensi dengan menawarkan elaun bulanan.

Beliau turut mencadangkan syarikat berkaitan membeli hasil seni pengkarya untuk dijadikan aset selain mewujudkan koloni artis di bangunan kerajaan terbiar.

“Penggiat seni boleh manfaatkan penempatan tersebut untuk menghasilkan karya memandangkan kos sewa studio agak mahal.

“Mereka boleh praktikkan konsep menang-menang yang mana GLC memiliki aset manakala artis dapat teruskan kehidupan dengan menyumbang karya tersendiri,” katanya.

 


Pengarang :