Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melekatkan Jalur Gemilang pada motosikal peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENSISELANGOR

Bapa cekal buat dua kerja demi sara keluarga

GOMBAK, 22 OGOS: Seorang bapa muda cekal mencari pendapatan tambahan dengan menyertai perkhidmatan e-panggilan sebagai penghantar makanan bagi menampung keperluan keluarga yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Juruteknik Muhamad Adib Azimi, 28, berkata beliau tekad melakukan dua kerja bersama Food Panda sejak Mac tahun lalu selepas isterinya hilang punca pendapatan sebagai guru Taman Didikan Awal Kanak-kanak (Tadika) apabila pusat itu tidak beroperasi.

Muhamad Adib Azimi. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Dalam tempoh mencabar ini, masing-masing susah dan semua berdepan ujian. Saya selalu berpesan pada isteri, selagi mampu saya akan berusaha kerana percaya rezeki ada di mana-mana.

“Paling penting adalah menyara keluarga dengan menyediakan keperluan harian terutama untuk dua anak yang masih kecil,” katanya yang menetap di Balakong, Cheras.

Sementara itu, Hairurrahman Ahmad Mimpari, 37, bersyukur kerana mampu menjana pendapatan sebagai penghantar barangan bersama Lalamove selepas khidmatnya sebagai jurutera di syarikat swasta ditamatkan berikutan pandemik Covid-19.

Hairurrahman Ahmad Mimpari. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Mahu tidak mahu memang saya kena buat kerja ini kerana perlu jalankan tanggungjawab sebagai anak sulung untuk menyara ibu dan bapa yang uzur termasuk enam adik beradik,” katanya.

Terdahulu, mereka berdua adalah antara 50 penerima program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.


Pengarang :