Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) berbual bersama petugas ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan vaksin berbaki 200,000 dos, negeri kesan individu belum disuntik

HULU SELANGOR, 4 OGOS: Bekalan yang diperuntuk bagi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti berbaki kira-kira 200,000 dos, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebihan dos itu disasar kepada individu yang belum mendaftar bagi menyokong program suntikan kerajaan pusat.

“Apa yang kita boleh lakukan ketika ini ialah memperhebat program Selvax Komuniti dengan baki itu untuk sama-sama menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita yakin 500,000 dos yang diperuntuk boleh dicapai dengan mencari lebih giat mereka yang tidak mendaftar atau terkekang ke pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau PPV Dewan Komuniti Serendah di sini hari ini yang turut disertai EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini manakala Selvax Industri memperuntuk dua juta dos kepada sejuta pekerja.

Bulan lalu, negeri itu berjaya mencatat jumlah pemberian vaksin harian melebihi 150,000 dos, melepasi sasaran harian sebanyak 135,000 dos.

Jumlah itu tidak termasuk kadar vaksinasi harian menerusi Selvax membabitkan 15,000 dos.

 


Pengarang :