Maslinda Mat Jais (tengah) mengadakan kelas khas bagi membantu kanak-kanak Orang Asli mengikuti pembelajaran dalam talian menggunakan tablet yang disumbangkan oleh sebuah NGO di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Hulu Yam, Gombak pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekas pekerja hotel bantu murid Orang Asli belajar dalam talian

GOMBAK, 16 OGOS: Seorang wanita Orang Asli mengadakan kelas khas membantu murid di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Hulu Yam, dekat sini belajar secara dalam talian.

Setiap Isnin hingga Jumaat, Maslinda Mat Jais, 24, menghabiskan masa selama lapan jam sehingga jam 4 petang di sebuah rumah untuk mengajar kira-kira 10 murid sekolah menengah dan rendah.

Maslinda Mat Jais

Rumah berkenaan dilengkapi capaian jalur lebar (WiFi) serta tablet sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut bekas kakitangan hotel itu, inisiatif tersebut diambil selepas melihat ramai murid di kampungnya itu ketinggalan apabila sesi pembelajaran dalam talian dilaksanakan susulan penutupan sekolah.

“Ramai ibu bapa tidak mahir mengendalikan pembelajaran dalam talian, saya bantu bagaimana guna aplikasi tertentu termasuk cara menjawab soalan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kanak-kanak Orang Asli tekun mengikuti pembelajaran dalam talian menggunakan tablet yang disumbangkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Hulu Yam, Gombak pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau yang juga anak ketua komuniti di kampung itu berharap sumbangan kecilnya dapat membantu murid terbabit cemerlang dalam pendidikan.

Sebanyak 40 keluarga tinggal di Kampung Orang Asli Ulu Batu dan murid dari perkampungan berkenaan pergi ke Sekolah Kebangsaan (SK) serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas.


Pengarang :