Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sentosa di pusat pemberian vaksin (PPV) De Palma Hotel, Shah Alam pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bekas pesakit Covid-19 buang rasa takut untuk terima vaksin

SHAH ALAM, 5 OGOS: Selepas tiga kali membatalkan janji temu MySejahtera, seorang bekas pesakit Covid-19 akhirnya memberanikan diri menerima dos pertama pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Rosmawati Komat mendapat suntikan tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini semalam atas nasihat anak lelakinya Muhammad Zharif Md Resam, 24.

Wanita berusia 56 tahun itu mengakui sebelum ini dirinya belum yakin untuk mendapatkan vaksin berikutan tahap kesihatan belum stabil selepas positif Covid-19 awal Jun lalu.

Rosmawati Komat, 56

Katanya pengalaman perit yang dilalui itu menyebabkannya trauma hingga terpaksa membatalkan tiga janji temu penerimaan vaksin selain bimbang untuk berada di tempat sesak.

“Pengalaman pertama kali terima vaksin memang mendebarkan tetapi saya kuatkan semangat dan banyakkan istighfar. Apatah lagi hanya duduk di rumah sejak keluar dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps, Serdang dua bulan lalu.

“Walaupun ramai beratur di luar PPV proses pemberian vaksin berjalan lancar dan pantas dengan bantuan sukarelawan,” kata ibu kepada enam anak.

Seorang lagi peserta, Muhammad Wafi Khairuddin, 21, tidak menyangka menerima janji temu kurang sejam selepas memohon di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dia segera berdaftar sebagai penerima vaksin di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sebaik dimaklumkan rakan pejabat.

Muhammad Wafi Khairuddin, 21

“Bulan lalu saya dapat tarikh janji temu untuk terima suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sebuah PPV di sini, tetapi terpaksa batalkan atas urusan kerja.

“Mujur ada kawan maklumkan mengenai program Selvax, sekurang-kurangnya saya tidak perlu menunggu lebih lama. Jika boleh saya mahu segera dapat vaksin kerana pekerjaan dilakukan ketika ini berisiko,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran, Parameswary Easupillay, 43, berkata dia membawa lima penghuni rumah terbabit menerima vaksin selepas permohonan diluluskan wakil rakyat Sentosa.

Ibu dua anak berkata salah seorang daripada mereka merupakan warga asing dari India yang pernah menjadi mangsa dera majikan kira-kira setahun lepas.

Parameswary Easupillay, 43

“Minggu lalu saya berjumpa dengan Dr Gunaraj George dan memaklumkan bahawa ada beberapa penghuni rumah kebajikan ini yang berusia 18 tahun ke atas perlu vaksin.

“Jadi, semalam (kelmarin) beliau hubungi saya dan memberi khabar gembira apabila permohonan tersebut diluluskan. Saya amat berterima kasih dan menghargai pertolongan ini,” katanya.

 


Pengarang :