Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika berekreasi di Taman Tasik Shah Alam yang kembali dibuka kepada awam pada 22 Ogos lalu ketika tinjauan pada 28 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bekas pesakit Covid-19 lega dapat kembali rekreasi di taman awam

SHAH ALAM, 28 OGOS: Hampir tiga bulan tidak dapat berkunjung ke Taman Tasik Shah Alam di sini, bekas  pesakit Covid-19 yang juga pesara kerajaan ‘melepas geram’ berjoging di taman yang dibuka kepada awam mulai 22 Ogos lalu.

Abdul Rahman Mohd, 58, berkata beliau gembira kerana dapat meneruskan rutinnya berjoging di taman awam itu pada hujung minggu yang terhenti apabila ditutup pada 1 Jun susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Abdul Rahman Mohd, 58

“Rasa seronok dapat kembali berjoging di taman ini, saya mahu kembali cergas selepas baru-baru ini dijangkiti Covid-19.

“Semua pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya yang tinggal di Seksyen 24 di sini.

Taman itu ditutup oleh kerajaan untuk sebarang aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Bagi pekerja swasta, Zafarul Atikah Zan, 37, kelonggaran diberi kepada penerima vaksin lengkap itu digunakannya sebaik mungkin untuk bersukan bersama rakan sekerja bagi mengurangkan tekanan.

Zafarul Atikah Zan, 37

“Sepanjang PKP, saya bersenam di rumah yang kadang-kalanya membosankan, di sini lega dapat lihat kawasan hijau dan bersih.

“Dapat juga melepas tekanan selepas penat bekerja,” katanya yang sentiasa berkunjung ke taman itu sejak berpindah ke Seksyen 7, Shah Alam, 10 tahun lalu.


Pengarang :